Selepas dilantik menjadi T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang pada awal tahun 1975, Tun Datuk Haji Sardon bin Haji Jubir berazam untuk menjadikan tugas utamanya menggerak Jawatankuasa Pembinaan Masjid memberi perhatian serius terhadap pembinaan Masjid Negeri. T.Y.T. telah memberi nafas baru, dorongan, galakkan, pimpinan dan peransang kepada Jawatankuasa pembinaan dengan harapan Masjid yang diidamkan itu dapat didirikan dalam jangka waktu yang ditetapkan. T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri seterusnya berkenan menjadi penaung sementara isterinya Toh Puan Datuk Hajjah Sadiah sebagai penasihat.Sepanjang Pembinaan Masjid Negeri T.Y.T. dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan sentiasa mengambil berat di atas setiap perkembangan pembinaan Masjid tersebut, di samping mengambil inisiatif menambahkan Tabung Kewangan Masjid Negeri dan memberi beberapa pandangan dan nasihat yang diperlukan. Satu Majlis Makan Malam untuk melancarkan pungutan derma secara besar-besaran telah diadakan di Residensi pada 28 Julai, 1975 dengan dihadiri oleh Allahyarham Y.A.B. Tun Haji Abdul Razak, bekas Perdana Menteri, Malaysia dan Y.A.B. Toh Puan Hajjah Rahah. Sambutan yang diberikan oleh para dermawan amatlah menggalakkan. Modal reka bentuk Masjid dipamirkan di majlis tersebut.Tuan Yang Terutama telah memulakan pelancaran tersebut dengan menderma wang habuan tubuh sebulannya untuk Tabung Pembinaan Masjid Negeri. Ini disusuli oleh para dermawan dan hadirin sekelian dengan menderma atau jaminan derma sebanyak RM241,315.00. Tuan Yang Terutama di dalam ucapannya pada malam tersebut membayangkan hasratnya supaya matlamat pungutan derma sebanyak RM500,000.00 itu disempurnakan dalam tempoh masa 6 bulan. Tetapi, Alhamdulillah, dengan daya penggerak yang dibuktikan oleh Tuan Yang Terutama sendiri maka matlamat ini telah tercapai dalam masa hanya 4 bulan sahaja.
No comments:
Post a Comment