Sempena Ulangtahun Harijadi T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri pada 16 Julai, 1977, suatu upacara meletakkan Batu Asas disempurnakan oleh T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri. Upacara itu dilaksanakan dengan penuh adat istiadat tradisi. Dalam upacara di majlis yang berbahagia itu, di antara lain T.Y.T. Yang Di Pertua Negeri menyatakan:
Pada upacara yang gilang gemilang ini, kita patut juga menyampaikan penghargaan kita kepada Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang mula-mula mempelupuri cadangan pembinaan Masjid Negeri ini, iaitu semasa Tunku menjadi Perdana Menteri. Usaha ini telah diteruskan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak yang menggantikan Y.T.M. sebagai Perdana Menteri. Kita berdoa semoga Allah lanjutkan usia Y.T.M. Tuanku dalam keadaan sihat walafiat dan memberinya bertambah-tambah banyak taufik dan hidayah. Kita juga berdoa semoga di atas segala jasa yang disumbangkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, Allah akan mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama-sama orang yang beriman.
Upacara meletakkan Batu Asas Masjid Negeri ini yang kita bersama-sama mengusahakannya adalah menjadi lambang keagungan Ugama Rasmi Persekutuan dan merupakan satu simbul perpaduan dan persefahaman serta keharmonian semua rakyat dari berbilang kaum dan berbagai ugama. Derma-derma yang disumbangkan dengan murah hati adalah disanjung tinggi bukan sahaja oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid Negeri bahkan oleh Kerajaan Negeri kerana ia membuktikan kesyukuran para dermawan terhadap Tuhan yang telah mengurniakan mereka kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup di dalam dunia ini. Sepertimana yang terdapat dalam sepotong hadis yang diterjemahkan seperti berikut:
“Barangsiapa mendirikan sebuah masjid di Dunia ini dengan ikhlas kerana Allah, nescaya Allah akan mendirikan baginya sebuah Mahligai di syurga”.
No comments:
Post a Comment